Tanganku akan hancur di dalam tanah, yang kekal hanya tulisanku di atas buku.....Mujurlah sesiapa yang membaca tulisan aku, doakan keselamatan aku dari azab (api neraka). ~Imam Shafie~

Khamis, 20 Jun 2013

Aiman dalam kenangan...... (maafkan mama sayang)

Assalamualaikum w.b.t.

Berat hati ni nak melepaskanmu, sehingga saat ni mama masih tak percaya yang mama sudahpun kehilangan buah hati yang mama tunggu selama 36 minggu. Sesungguhnya Allah lebih menyayangimu.


Jumaat / 07.06.2013
Kali pertama mama dengar tangisan Adik, kuat tapi comel hati mama gembira sangat. Kemudian Adik diletakan di dada mama, walaupun Adik kotor tapi mama suka sangat. Muka bulat Adik buat sakit mama hilang sekejap. Tersenyum mama tengok mimik muka tak puas hati Adik sebab dipaksa menangis oleh doktor. Mama usap pipi Adik, Adik diam dan sambung tidur semula. Nurse ambil Adik dari mama untuk dibersihkan serta diperiksa tahap kesihatan sebelum dikembalikan semula pada mama. Lama mama tunggu tapi Adik tak muncul2. Akhirnya mama bertanya pada nurse mana anak mama, nurse kata Adik bernafas laju jadi mereka beri oksigen sekejap sebelum dihantar ke MHICU untuk pemeriksaan lanjut. Mama minta bertemu Adik sebelum mereka bawa Adik ke sana. Mereka benarkan Adik dipelukan mama seketika. "Assalamualaikum...adik" Adik buka mata sikit kemudian tidur semula sesekali menjeling bila nurse secara tak sengaja terlepas barang dan akibat bunyi bising. Amboi garangnya anak mama ni. Mama cium dahi Adik dan kemudian mereka bawa Adik pergi. Sedih juga mama malam ni, sebab mama tak dapat tidur dengan Adik, sesekali terasa cemburu melihat ibu-ibu di dalam wad menyusu anaknya.

Sabtu / 08.06.2013
Lepas doktor buat pemeriksaan, dia benarkan mama balik selepas menyusukan Adik. Tak nak tunggu baba, mama pergi sendiri ke MHICU untuk bertemu Adik. Nurse kat wad risau juga sebab mama masih lemah tapi mama kata mama ok. Mereka dah start bagi Adik antibiotik dan beri adik susu tapi mereka benarkan mama menyusukan Adik. Adik tidur jer, takpelah asalkan mama dapat peluk Adik. Doktor tak benarkan adik balik lagi sebab adik perlu habiskan antibiotik mungkin ambil masa 5 hari. Kecewa juga mama tapi takpelah asalkan adik sihat. Adik dipindahkan ke wad K5 dan mama boleh stay ngan adik. Hari ni baru adik diazankan oleh baba, sebab semalam baba tak sempat jumpa adik. Malam ni kita dapat tidur bersama. Mama dapat menyusukan adik walaupun susu masih belum ada. 

Ahad / 09.06.2013
Bosan betul tinggal dalam wad, dah la tak boleh ada pelawat hanya ibubapa jer yg dibenarkan melawat. Rindu ngan abang dan kakak. Abang dan kakak hanya dapat menatap gambar adik jer dan sesekali dengar suara mama melalui telipon. Adik pula, asyik tidur jer. Kadang-kadang mama sengaja kejutkan adik, sengaja buat adik menangis. Seronok tengok adik menyusu, pipi adik yang bulat tu bergerak-gerak sambil tangan tolak baju mama. Sesekali genggam tangan mama. You are so cute adik. Mama tak putus-putus cium adik. Walaupun nurse tak bagi tidur sekatil dengan adik, mama ambil kesempatan menyusukan adik sambil berbaring kena tegur ngan nurse "menyusu ker tu, kalau baby tidur letak dalam cot ye." Kesian adik badan dah mula panas sebab kurang susu. Adik dah kurang buang air kecil dan besar. Sepatutnya baby sekurang-kurangnya tukar lampin 8 kali sehari tapi adik hanya 2 kali jer.

Isnin / 10.06.2013
Seperti semalam, antibiotik adik masih belum habis, mama perhatikan adik asyik tidur jer. Adik dah tak berak, ini bermakna adik kurang susu. Malam tu mama minta nurse bagi susu formula kat adik sebab mama tahu adik kurang susu. Bila mama pam susu, memang tak keluar langsung susunya. Nurse nasihatkan mama terus susukan adik. Lama kelamaan susu akan ada juga. Adik hisap kuat sehingga melecet nipple mama dan kemudian adik tidur nafas adik pula semakin laju, selepas menyusu adik kelihatan letih sangat. Antibiotik disuntik melalui line yang ada pada tangan adik. selalunya adik tak nangis bila disuntik tapi malam tu, adik menangis rupanya tangan adik membengkak. Nurse cabut jarum tu malam ni jugak. Kesian adik, bila mama dakap adik, adik diam dan tidur semula.


Selasa / 11.06.2013
Leganya rasa bila doktor kata adik dah off antibiotik, tapi adik kena demam kuning pula sebab tak cukup susu. La kesian adik terpaksa tidur bawah lampu biru. Pagi tu juga doktor ambil darah untuk pastikan sama ada adik perlukan lampu biru tu lama atau sekejap je. Bila pakar datang dia cek adik dan tengok adik bernafas laju dan katanya ada dengar heart murmur dan kiv echo. Bila result darah keluar, doktor beritahu bahawa adik tak perlu lampu biru lagi.

Rabu / 12.06.2013
Hari ni seperti biasa, mama bagi adik hisap susu walaupun sakit mama tahan asalkan adik dapat susu mama, mama perhatikan adik hisap sekejap dan berhenti sekejap kemudian sambung semula. Berulang-ulang hingga adik tidur. Nurse kata kalau mama rasa sakit maknanya adik dapat susu. Hari ni pakar buat pemeriksaan dan dia dapati adik ada heart murmur dan suruh buat echo, tapi masih tak boleh buat sebab MA sibuk. Kemudian pakar lagi sorang datang cek adik Dr Rozita tak silap mama namanya. Dia suruh buat jugak. Tengahari tu dia bawa adik buat echo. Petang tu salah seorang doktor datang jumpa mama dan beritahu mama berita buruk mengenai adik. Menurut doktor, seperti abang dan kakak, adik juga ada VSD tapi kes adik sama macam abang AVSD malah adik lebih teruk sebab ia melibatkan pembuluh darah utama adik terlalu sempit. Mama tak tahu kenapa mama menangis dengar berita tu. Dulu masa mama dapat tahu kakak ada masalah jantung iaitu PMVSD mama tak mengalirpun air mata, begitu juga dengan abang bila doktor kata abang ada AVSD dan perlukan pembedahan serta memakai bateri dijantung. Mama sedih tapi tak menangispun bukan sebab mama tak sayangkan abang dan kakak tapi mama... ntahlah mama sendiri tak faham. Bila mama call baba suara mama terketar, babapun pelik. Semuapun tahu mama bukan jenis yang suka menangis depan orang. Walau seteruk mana situasi mama hanya akan menangis bila mama sendirian.

Adik dihantar ke Institut paediatric HKL untuk buat Echo buat kali kedua. Masa ni adik baru bangun tidur, mama bagi adik menyusu tapi terpaksa berhenti cepat sebab Doktor dah panggil. Kesiannya anak mama dahaga. Semasa Echo dijalankan adik nangis, nurse bagi adik air gula. Dari Hospital Bersalin adik dipindahkan ke Institut Peadeatric HKL pulak. Sekarang adik dimasukkan ke wad KK8. 


Di KK8 bermulanya kesakitan, berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Mama hanya terdaya mendengar jeritan adik bila Doktor cucuk jarum ke anggota adik. Tangan dan kaki adik penuh dengan kesan cucukan. Mengalir air mata mama bila doktor beritahu mama line ditangan adik adalah line ubat yang dicucuk terus ke jantung. Mereka melihat line itu melalui x-ray beberapa ketika mereka ambil adik lagi untuk menarik keluar line itu sedikit sebab mereka cucuk terlalu dalam ke jantung. Membayangkan sahaja mama rasa sakit. 

Kemudian mereka cari line untuk masukan antibiotik jika perlu, kini mereka cucuk kaki adik pula. Tak tahan mama dengar suara adik. Tapi bila mereka bagi adik kat mama, adik dah tertidur..mungkin kepenatan menjerit. Mereka masukkan dua jenis ubat yang dekat kaki mama tak pasti apa, tapi ubat tu mereka off kan selepas beberapa minit tapi yang di tangan adik tu perlu sebab ubat tu untuk mengekalkan lubang dijantung adik bagi membolehkan oksigen dalam darah adik mengalir di anggota adik yang lainnya. Doktor kata adik takan rasa sakit sebab ubat tu terus ke jantung. Hari ni adik menyusu dengan mama lama lebih kurang 1 jam, tapi seperti selalu adik hisap berhenti hisap dan berhenti. Breast mama dah start membengkak maknanya air susu dah mula ada. Bila mama pam, mama dapat 15cc je. Nurse tolong berikan melalui bekas.

Khamis / 13.06.2013
Mama risau bila tengok pampers adik, ada warna kekuningan dan adik menangis bila kencing. Kemudian mereka masukan tiup ke mulut adik dan susu supplement diberi 50cc setiap 3 jam dan mereka minta mama timbang pampers adik untuk memastikan berapa banyak air keluar dari badan adik. Air kencing adik sikit sangat jadi doktor masukkan tiup dalam pundi kencing adik untuk pastikan air kencing adik dapat disukat dengan betul. Tak tahan mama tengok adik tahan sakit bila doktor masukkan tiup tu depan mama.

Lagi sekali mama mengalirkan air mata dan minta maaf dari adik. Bila doktor tinggalkan kita, mama ambil adik dari cot dan baringkan disebelah mama, mama dah tak kisahlah dengan arahan mereka tentang tidur sekatil dengan baby. Mama dodoikan adik dengan zikir "Lailahaillallah, Muhammadurrasulullah" adik suka dan terlena. Mama suka rapatkan muka mama ke muka adik. Mama suka bau adik. Mama dakap adik. Mama mahu adik sabar ye... dan berdoa agar adik sihat lepas ni.

Mereka rasa line di kaki tak perlu jadi mereka mencabutnya. Kemudian Dr Leong datang (Doktor Pakar KK8) mereka berbincang dan dapati adik bernafas lebih laju dari biasa. Mama cuba fahamkan apa yang mereka bincang. Air mata mama mengalir lagi bila Dr Leong kata patient has a heart failure. Mereka pindahkan adik di satu bilik. Adik diberi oksigen. Adik selalu buka oksigen tu, mama faham ianya tak selesa sebab mama juga pernah menggunakannya. Sekarang mereka mahu adik berpuasa mereka mahu masukan drip.

Mama rasa nak marah sebab mereka dah buangkan line di kaki adik dan sekarang nak cucuk adik lagi. Mereka tak berjaya sebab kaki dan tangan adik sejuk. Dr Leong nampak mama nangis lagi dan suruh mama tunggu luar. Sekarang adik dimasukan dalam akubator. Mama dah tak boleh peluk adik lagi. Mama hanya boleh usap adik je.

Memandangkan adik dipindahkan dalam akubator, mama minta izin Doktor untuk balik rumah sekejap sebab Abang demam, dengar je mama cakap nak balik rumah adik mengamuk, habis semua tertanggal, mama buka akubator dan peluk adik dan adik diam, tak sampai hati pula mama nak tinggalkan adik. Tapi nurse beritahu mama katil untuk mama takde dan mama disuruh pulang memandangkan tiada apa yang perlu mama buat sekarang, susu pun mama tak boleh bagi adik lagi. Malam tu mama tinggalkan adik tapi mama sempat pam susu dalam 20cc untuk adik sebelum mama balik. Dr Leong minta mama tunggu di IJN esok pagi jam 8.00am. Kali pertama kita berpisah, malam ni mama tidur dengan abang dan kakak tapi hati mama masih dengan adik. Mama mimpi adik mencium mama bertubi-tubi buat mama tersenyum bila mama buka mata rupanya kakak yang cium dahi mama, kesian kakak dah hampir seminggu mama tak jumpa, rindu benar dia kat mama. Memang susah nak lelapkan mata malam ni..mama tak putus-putus doakan adik.

Jumaat / 14.06.2013
Pagi ni, mama dah bersiap nak ke IJN tak sabar rasanya nak jumpa Adik. Kat IJN patient tak ramai lagi, tanya kat kaunter mereka kata patient dari GHKL tak sampai lagi. Mama call KK8, Dr Su kata MA tak sampai lagi jadi makan masa sikit untuk ke IJN. Pada mulanya baba ajak mama makan tapi mama nak ke KK8 sebab mama nak jumpa adik, mama rindu sangat. Tiba di KK8 adik masih dalam akubator. Adik masih tidur. Mama ikut adik naik ambulance. Sampai IJN adik buat Echo pada mulanya dengan doktor IJN kemudian di bawa ke makmal echo dan di periksa oleh pegawai echo serta beberapa orang doktor tapi tiada penjelasan yg kami terima cuma menurut doktor yg sebelum tu kata. Sebelum ni, anak2 mama memang ada VSD tapi adik punya lebih sukar sebab ia membabitkan pembuluh darah utama adik sempit. Next week, lepas meeting mereka akan lakukan pembedahan dengan segera. Mama rasa lega sikit sebab adik boleh diselamatkan walaupun mama sedih bila lihat adik dahaga. Mama rindu nak susukan adik, nurse beri adik susu melalui tiup. Mama hanya mampu peluk adik sekejap jer sebelum adik dimasukan kedalam akubator semula.

Masa nak balik GH, Dr Su suruh mama pergi makan supaya mama ada tenaga memandangkan dah tengahari jadi mama tinggalkan adik sekejap. Mama balik rumah badan mama terasa penat dan mama tertidur. Jam 3.30 baru mama sedar. Tergesa-gesa mama dan baba pergi KK8 tapi mama dapati adik dah takde kat situ. Dr Su tak mahu beritahu mama adik kat mana, dia minta mama tunggu Dr Leong (Dr Pakar KK8) Menurut Dr Leong lepas balik dari IJN dalam jam 3.00 jantung adik lemah sangat jadi mereka pindahkan adik di KK9. Di KK9 adik dikerumuni doktor, Dr Farah (Pakar KK9) ajak mama ngan baba kat satu tempat untuk beri penjelasan. Menurut Dr Farah, jantung adik dah lemah sangat dan dengan keadaan itu adik tak boleh jalani pembedahan. Doktor sedang berusaha sedaya upaya untuk selamatkan adik, Dr Farah minta maaf kerana terpaksa beritahu mama adik mungkin hanya boleh bertahan dalam 24-48 jam sahaja. Keajaiban dari Allah sahaja yang dapat menentukan nasib adik. Apa yang perlu sekarang hanya DOA. Hanya linangan air mata jer yang menemani mama sekarang selain dari doa yang tak putus2 memohon dari Allah agar adik disembuhkan.

Baru mama teringat adik takde surat beranak lagi. Mama ajak baba untuk buat surat beranak adik, Muhammad Aiman itu adalah nama adik yang mama simpan sebelum mama pregnant lagi. Mama dah tak kisah dah dengan nama yg orang cadangkan pada mama. Mama jenguk adik, Ya Allah, berdosanya mama rasa. Melihat keadaan adik begitu dengan alat bantuan penafasan, jarum dicucuk di merata anggota adik, dengan wayar yg berselirat. Paling mama sayu melihat mata adik. Pandangan yang lemah. Adik dah tak menangis lagi. Mama nak pam susu untuk adik tapi doktor kata adik puasa dan dipasangkan drip. Mama sering disuruh tunggu diluar sebab mereka nak jalani rawatan pada adik, Dr Su datang pujuk mama suruh balik berehat, tiada apa yang boleh mama buat di wad hanya sekadar mengintai adik dari jauh, Mama beritahu Dr Su, yang mama menyesal tinggalkan adik petang tadi baru beberapa jam mama tinggalkan, adik dah jadi macam tu. Dr Su turut bersedih lihat mama.

Mama nak tidur kat KK9, Dr Su kata lebih baik balik rumah sebab takde tempat untuk mama tidur lagipun Dr Su kata mama perlu rehat. Sebelum balik mama tengok adik lagi. Mata adik masih terbuka dan memandang mama dengan sayu. sesekali mata adik berkelip seperti menahan sedu. "Aiman...nama adik Aiman tau, masa adik dalam perut, mama panggil adik Aiman.. Aiman, tutuplah mata tu nak, mama tahu aiman penat. Esok Aiman balik ye, Aiman jumpa Abang Asyraf, Kakak Aishah, Abang Irfan, Kakak Qaireen, Maktok, Tokwan... Aiman, dahlah Aiman tidurlah sayang.. Kesian anak mama, mama minta maaf sebab mama Aiman jadi macam ni, mama sakit sekejap je masa lahirkan Aiman tapi Aiman... " Air mata mama dah tak boleh disekat lagi. Mama dodoikan Aiman dengan zikir "Lailahaillallah,Muhammadurrasulullah" mama usap rambut Aiman mata Aiman tertutup seperti tidur. Mama cium dahi, pipi, tangan Aiman. Mama nak dakap Aiman tapi tak boleh. Mama bacakan surah al-fatihah agar aiman tak rasa sakit lagi. Mama hembuskan di kepala Aiman. Bila mama tengok mata Aiman dah tutup mama beredar. "Mama balik dulu tau...kita jumpa esok ye sayang"

Mama sedih sangat nak tinggalkan aiman sendirian tapi baba suruh mama balik jugak. Malam tu, mama baca Yassin dan berdoa agar Allah sembuhkan Aiman. Pada mulanya mama nak baca 4 kali surah Yassin tu tapi mama tertidur.

Sabtu / 15.06.2013
Bila mama tersedar pagi ni, tiba2 hati mama sayu jer, mama sambung baca yasin sebanyak 3 kali berturut-turut, suara mama tersekat-sekat sesekali mama menangis teresak-esak. Hari ni di sekolah abang ada perjumpaan ibubapa, hari report card. Jadi Baba nak ke hospital jam 9.00am. Walaupun mama dah siap awal2. Breast mama rasa sakit, Mama minta Aiman bertahan agar mama dapat berikan susu pada Aiman. Tiba2 mama dikejutkan dengan satu panggilan minta mama datang segera ke KK9, nurse beritahu mama, Aiman dah tenat. Mama terpaksa tinggalkan Abang yang dah lengkap beruniform sekolah di rumah, Mama tak kata apa2 mama hanya mampu menangis dalam hati beristighfar dan berselawat ke atas nabi serta berdoa agar Aiman tak apa2. Sampai di KK9, mata mama tertumpu pada Aiman jer.. seperti mana mama tinggalkan aiman malam tadi seperti itu juga mama temui Aiman pagi ini. Aiman kelihatan seperti sedang tidur. Dr Vindhu beritahu mama jantung Aiman sudah berhenti. Mereka minta izin mama untuk hentikan mesin. Mama tak jawap, baba yang beri izin. Mereka keluarkan semua alat dan tiub2 dari mulut serta anggota aiman yang lain, kemudian mereka beri mama dakap Aiman. Mama rasa nak meraung jer tapi tak mama hanya mohon maaf pada Aiman sebab Aiman terpaksa tempoh semua ini. Hancur hati mama tengok rambut aiman dicukur sebelah sebab nak cari line untuk dimasukan jarum. Mama cium seluruh muka, kepala dan mulut Aiman. nurse suruh mama bagi aiman pada baba pula. Kemudian nurse minta mama dan baba keluar agar mereka dapat bersihkan Aiman. Mama tak tahu nak kata apa, selain berdiam, cuma air mata jer yg mengalir. Bila selesai dibersihkan Aiman diberi semula pada mama. Mereka balut Aiman seperti mengkapankan aiman. Tangan aiman diikat, kepala Aiman juga diikat. Tak tahu nak gambarkan perasaan mama tika itu. Mama dakap Aiman, cium aiman dan dodoikan Aiman seperti nak tidurkan Aiman malam tadi. Mama usap belakang Aiman. "Mama minta maaf Aiman..Mama minta maaf." Dr Vindhu minta sedikit darah aiman untuk diperiksa. Mama tanya perlu ke doktor, Dr Vindhu kata perlu bagi memastikan tahap keracunan dalam darah aiman. Mama tak sampai hati tapi mama terpaksa.

Baba call Maktok bagitahu keadaan Aiman. Maktok, Toklang datang membantu. Aiman dibawa ke rumah mayat untuk mendapatkan permit sebelum dibawa pulang. Mama nak dukung Aiman tapi mereka tak benarkan. Mereka risau mama sakit, mama tak sakit...mama cuma terkilan jer, mama nak mandikan Aiman tapi Maktok minta pihak hospital mandikan jenazah Aiman serta sembahyang kan jenazah aiman. Mama hanya diamkan diri, mereka dahpun kapankan Aiman. Mama dah tak boleh tengok muka Aiman lagi. Mama minta baba agar beri Aiman pada mama, mama nak peluk Aiman tapi mereka tak benarkan takut mama ratapi Aiman. Hanya bacaan surah Al-fatihah sahaja yang dapat mama berikan pada Aiman. Sesampai di surau, barulah mereka buka kain kapan bagi membolehkan ahli keluarga yang lain menatap wajah Aiman. Mama ambil peluang mencium aiman buat kali terakhir. Begitu juga abang dan kakak itulah kali pertama mereka bertemu adik. Sesudah solat Zohor, mereka solat jenazah dan kemudian Aiman di kebumikan di Tanah Perkuburan KL-Karak di Taman Batu Muda Gombak. Sekali lagi mama minta untuk dukung aiman tapi mereka tak bagi. Pada mulanya mereka tak bagi mama ikut, tapi mama nak jugak ikut. Bila sampai di tanah perkuburan itu barulah baba serahkan aiman pada mama. Mama lihat Tokwan buka kain dibahagian muka Aiman dan diletakkan Aiman dalam liang lahad oleh baba. "Inna lillahi wa inna lillahi roji'un"..Dan mama dah tak nampak Aiman lagi. Aiman dah pergi tinggalkan mama.

Seminggu... hanya seminggu.. Aiman bersama mama.. Aiman tetap dalam ingatan..


Video Aiman yang kerap mama tonton...........

video
Aiman - Day 1

video
Aiman - Day 2


thanks for reading this entry ^_^

Isnin, 17 Jun 2013

Pregnancy 36 weeks : Surprise!!!

Assalamualaikum w.b.t.

Well, hari ni aku dah kuat sikit setelah beberapa hari ni tak berapa nak sihat.

Kalau nak tahu, sebelum aku pregnant ni macam2 aku fikir. Takut nak bagitahu bos yang aku ni pregnant dan risau sebab due date aku sama dengan due date account.. Dok fikir siapa yang akan uruskan kerja aku pasal boss tak ada pekerja lain selain aku. Tapi bila aku bagitahu boss yang aku pregnant, reaksi bos aku cam biasa jer. Susah jer risau hehehe...Bos ada backup actually, dia ada free lance account.

Hari tu 3hb bulan aku buat check-up kat klinik. Ramai pulak orang, lama giler aku kat klinik. Sampai office, boss dah sampai dulu, dia ada tanya colleague aku, aku kemana pasal tak sampai2 lagi. Nasib baik dah pesan ngan colleague aku yg aku jumpa doktor hari ni. Sampai2 kerja belambak atas meja. Dan kebetulan pulak hari ni hari kenaikan gaji aku. Gaji naik tak seperti selalunya kurang sikit walaupun patutnya aku bersyukur tapi rasa tak pueh hati pasal cam tak patut jer bos ni, yg bestnya bos pun tak panggil aku pun tuk beritahu gaji aku naik berapa, diapun cam ala-ala segan nak habaq la tu gaji aku naik berapa, hahaha... bagi slip terus blah. Jadi cam ada alasan la pasal aku sekarang asyik lambat masuk office jer kan..

Pengaruh setan jap...dalam hati cakap, huh.. baik aku bersalin sekarang lantaklah peak time sekarang ni, peduliklah account kena siap this month sebab sekarang tax period. Balik seperti biasa konon nak mengadu kat hubby, Hubby seperti biasalah ayat dia.."Ma...cuba tadah tangan cakap Alhamdulillah, naik gak gaji tu"..
yelah2 "Astaghfirullah.., " kan dah kena... 

Dah nak masuk 36 minggu dah, tapi aku tak belipun barangan baby, hari Sabtu dan Ahad aku ada buat part time, kat Accounting firm lain, jadi memang takde masa nak shopping. Kebanyakan barangan baby adik2 aku belikan. Diorang yg terlebih excited dari aku. Aku tak mahu ketinggalan so 5hb hari Rabu, balik office aku dan adik aku Eny nak shopping barang baby so dia datang jemput aku kat office petang tu tapi rasa tak sedap badan pulak petang tu, so aku cancelled pergi shopping tapi still suruh Eny belikan dan Eny pergilah dengan adik aku lagi sorang, Ana namanya. Tak merasa aku shopping barangan baby, tapi aku da sediakan list kat budak2 tu apa yg nak dibeli.

6hb Jun, hari Khamis, lepas Subuh tidor balik, rasa cam takmo gi SSM, kebetulan hubby kerja sendiri so suka hatilah dia nak masuk kerja kul berapa, ingat nak ambil kesempatan suh dia jer yang pergi SSM. Tapi aku fikir balik kang bos talipon nak tanya name search susah jugak nanti. Actually my hubby da bersetuju nak jadi runner SSM kalau aku dalam pantang nanti. So kalau ada tugasan untuk ke SSM colleague aku akan cari runner kalau tak dapat dia akan minta my hubby yg pergi, kira my hubby stand by jelah. Tolong menolong lah tukan. Akhirnya aku pergi jugak SSM tak banyakpun benda nak buat kat SSM tu cuma nak filing Annual Return jer. Masa nak ambil resit bayaran kat kaunter bayaran bila aku toleh balik kat kerusi aku, kerusi tu basah, sebelum tu tak. Nasib baik takde orang kat sebelah aku, kalau tak mesti dia sangka aku kencing dalam seluar sebab seluar akupun basah. Bila aku singgah rumah auditor ambil account, aku rasa seluar aku makin basah tapi yg peliknya aku tak rasa apa2pun. Sampai office aku bagitahu colleague aku, aku mungkin leaking sebab air yang keluar tu jernih dan tak busuk. Colleague aku walaupun dia orang cina tapi dia baik dah macam kakak aku dah, sanggup dia sentuh seluar aku yang basah untuk pastikan air tu air ketuban ker tidak tanpa rasa jijikpun. Dia suruh aku ke hospital terus. Tapi seperti biasa aku mesti pergi klinik Dr Ina & Dr Aida, kebetulan Dr Aida yg kerja, so Dr Aida cek perut aku jap dan terus suruh pergi hospital siap suruh bawak barang baby sekali. 

Kat Hospital, Doktor mengesahkan memang bocorlah tapi tak sure sebab bukaan tak ada langsung, kemudian nurse cek dan dia confirmkan memang jalan dah buka 1cm. So suruh masuk wad hari ni jugak, Doktor kata dalam masa 24jam aku tak bersalin sendiri, aku akan dipaksa bersalin..secara induce la tu. Aku tanya nurse induce tu hape?? Katanya ubatlah nak bagi ibu bersalin cepat tapi dia akan bagi 3 kali ubat tu kalau tak mahu bersalin jugak kena operatelah pulak tapi induce akan buat ibu sakit sikit. (sakit sikit??!!) 

Aku bagitahu bos aku yang aku mungkin akan bersalin dalam masa 24jam nanti, boss aku tenang jer dengar dan minta aku call dia bila dah bersalin. Rasa bersalah pulak dengan dia. Boss aku ni memang garang tapi baik orangnya.

7hb, hari Jumaat. Ada 3 orang patient kena induce pagi tu termasuk aku, mula2 aku ek sikit sebab tak rasa sakitpun dalam beberapa jam pertama tapi kedua2 orang ibu tu dah start sakit tapi still boleh jalan2 lagi. Masuk jam 3.30 hanya aku jer yang terasa sakit. Sakitnya Ya Allah, memang berbeza dari bersalin anak kedua dulu. Ekin adalah salah satu ibu yang di induce, dia bantu aku ke bilik pemeriksaan sebab kesian tengok aku kesakitan, nurse bagi wheelchair tapi aku tolak sebab nak bagi cepat bersalin. Doktor cek bukaan hanya 3cm jer, ada nurse tu suruh hantar labour room sebab aku induce tapi doktor kata mereka takan layan selalunya 4cm baru mereka terima. Staff nurse tu kesian tengok aku, dia pujuk aku, katanya memang sakit tu teruk sikit sebab ubat tu kuat. Aku pergi ke katil aku dengan rasa kecewa, tiba-tiba Ekin datang ambil baju baby katanya jalan dia da bukak 4cm so dia nak ke labour room. Aku nangis masa tu dah tak kisah da kat orang sekeliling aku, hubby aku datang tolong urut belakang tapi bila datang jer sakit urutan memang akan menambah kesakitan. Ekin datang balik ke katilnya, katanya tak jadi pergi labour room pasal dah penuh. Ramainya orang nak bersalin hari ni. Tiba2 sakit tu datang lagi, aku nampak Ekin berjalan ke hulu hilir, kemudian dengar nurse puji dia, bagus.. berjalan-jalan boleh memudahkan proses bersalin. Akupun terus nak bangun kononnya nak berjalanlah tapi dudukpun aku tak larat. Sesekali aku gengam tangan hubby aku sekuat hati. Ya Allah, memang sakit sangat masa tu. Mulut tak habis2 beristighfar dan berselawat ke atas nabi. Nurse tu patah balik datang kat aku dan berpesan lagi. "Yusnita, sakit tu memang pasti kita takleh nak elak, ingat setiap kali sakit tu datang laluan akan buka sikit2, jadi awak perlu ambil nafas panjang atau laju2 bagi kurangkan rasa sakit." Aku dengar cakap nurse tu tapi memang takleh tahan, akhirnya aku minta diperiksa lagi. Kali ni aku naik wheelchair untuk ke bilik pemeriksaan. Bukaan dah 5cm aku terus ke labour room. Sampai labour room, hubby aku disuruh tunggu 30 minit dulu diluar bagi memudahkan mereka buat persediaan dan juga report. Sedang mereka berbincang aku dah bising cakap tak tahan sakit. Aku dengar diaorang bincang cakap OT dah penuh. maknanya kalau nak buat operation pun tak boleh sebab Operation Theater dah penuh.Kemudian dia bawa aku dalam satu bilik, sedang doktor berbincang aku dah mengamuk. Oksigen aku tak reti nak guna, bila tiba sakit aku gengam tangan nurse, tak dapat tangan nurse aku gengam rak ubat. Akhirnya Doktor pecahkan juga air tuban, lepas pada tu 3 kali teran jer baby pun keluar. Hah! lega selega leganya......Salah seorang doktor tanya mana hubby dia, nurse jawap tak sempat panggil anak dia dah keluar.  Hahaha.. 15 minit jer ambil masa, tu memang nekad sangat lah tu, takmo tanggung sakit lama2.

Doktor tanya ni baby apa, sambil tunjuk baby kat aku, aku yg rabun ni jawap tolong dekat kan sikit bole pasal saya rabun. Tag namapun aku tengok dekat2 semua kat dalam tu tergelak. Dia letak baby yg belum dicuci tu atas dada aku, comelnye...baby sambung tidur, marah dengar bunyi bising sikit. Aku sempat minta maaf kat Doktor dan semua sebab aku berperangai teruk sangat tadi. Doktor tu usap tangan aku kata takde apa2 lah tu biasalah, mereka lagi suka kalau ramai patient macam aku sebab proses bersalin pantas sangat. Ingat dah abih siksa sambung balik jahit luka, aduyai.....sabor jelah. Selepas selesai semunya aku diberi rehat selama 2 jam dalam tu, anak aku dibawa ke tempat lain untuk pemeriksaan. Penatnya, badan terasa lenguh sangat tapi aku bersyukur segalanya dah selesai. My hubby masuk sekejap tengok aku kat labour room tapi kena halau, sebab husband hanya dibenarkan berada disisi wife ketika proses bersalin bukan selepas bersalin. Erm.. terlepas, ingatkan nak bagi dia tengok camne sakitnya bersalin tu...

Balik ke wad, aku tengok Ekin ngan seorang ibu yg ambil induce pagi tadi masih tak bersalin lagi, kedua-duanya datang melawat aku, aku pun ceritalah yang aku macam orang giler kat dalam labour room, Ekin  dah takut dah, patient lagi satu tu pernah bersalin cara induce gak dia pun mengiyakan..memang sakit, cuma tak sangka cepat benar aku keluar dari labour room. Keesokan harinya Ekin melahirkan anak secara pembedahan sebab diapun macam aku jugak kecoh cam orang giler dalam labour room so doktor terus cadangkan dia agar buat operation, cuma patient lagi sorang tu tak sempat nak jumpa sebab masa tu aku sibuk dengan hal anak aku yg terpaksa berpisah dengan aku sekejap sebab ada sikit masalah pernafasan.

Aku rasa bertuah sangat sebab diberi peluang melahirkan anak dengan 3 cara berbeza. Kesakitannya juga berbeza. Alhamdulillah...

Maka pada 7hb Jun 2013, hari Jumaat pada 6.26pm lahirlah seorang bayi lelaki seberat 2.86kg. 

Perkenalkan... Muhammad Aiman Bin Rushidi

comel kan.....
thanks for reading this entry ^_^