Tanganku akan hancur di dalam tanah, yang kekal hanya tulisanku di atas buku.....Mujurlah sesiapa yang membaca tulisan aku, doakan keselamatan aku dari azab (api neraka). ~Imam Shafie~

Isnin, 1 Julai 2013

Rindu....(Redha atau Pasrah)

Assalamualaikum w.b.t.

Dua minggu Aiman tinggalkan mama, tak pernah sekalipun Aiman singgah dalam mimpi mama. ntahlah memang mama gila mengharapkan Aiman bertemu mama dalam mimpi. 

Rindu sangat kat Aiman........

Hari Jumaat, mama datang ziarah pusara Aiman, pokok yang Toklang tanam atas pusara Aiman dah kering. Macamana pokok tu nak hidup sebab Toklang tanam atas tanah kering. Mama dah tukarkan pokok lain dan kali ni mama siram betul2 dan harap ia tumbuh subur supaya pokok tu dapat berzikir untuk Aiman.

Hari pertama Aiman pergi, lemah longlai mama dibuatnya. Airmata memang tak henti-henti mengalir. Buka almari nampak barang baby, mama nangis.

Gambar barang-barang baby ni sepatutnya nak digunakan untuk entry sebelum ni, entry nak ucapkan terima kasih kat makcik2 Aiman yang sudi belikan barang-barang baby untuk Aiman. Makcik2 Aiman paling excited sekali nak sambut Aiman. Tapi mama tak sempat nak siapkan entry tu sebab Aiman lahir awal sebulan. Kini barang2 tu buat mama rasa sedih, dan baru mama sedar kenapa setiapkali mama nak pergi shopping barang2 baby mesti je ada hal menghalang...


Ada juga yang terlambat tahu tentang Aiman. Tak tahu nak simpan ke atau nak beri pada baby orang lain. Kebetulan jiran sebelah pun baru lahirkan baby. Mama ingat nak melawat sebab mama teringin nak dukung baby. Mama rindu..tapi baba tak bagi mama pergi lagipun mama dalam pantang. Jiran tu pun dah balik kampung sebab nak berpantang kat kampung. Mama ni tak buat apa2 pun. Jamupun tak makan, berurut pun tak lagi. Tapi baru2 ni nurse datang melawat dia tanya mama ada bertungku tak sebab rahim mama dah kecut dan breast mama dah lembut. Yelah mama baru perasan mama tak sakit lagi setelah Aiman pergi. Semalam bos mama, Dr Aida bagi jamu kat mama, dan berpesan supaya mama jaga kesihatan.. In Sha Allah mama akan jaga kesihatan.

Rasa nak pergi kerja jer (surely kena marah punya) kalau duduk rumah tak boleh buat apa2, mesti teringat kan Aiman.





Mama tatap gambar Aiman berulang-ulang. Setiap masa mama hanya nampak Aiman kat mana2. Rindu segala-galanya tentang Aiman, senyuman, jelingan, tangisan....Melihat tubuh sendiripun buatkan mama menangis, terbayangkan Aiman menyusu, tertidur atas badan mama. Perut mama kempispun mama sedih, dah tak rasa tendangan Aiman dah.. Mama dah tak rasa geli lagi..Kadang-kadang mama rasa macam mimpi jer.........Mama tak pedulikan Abang dan Kakak, padahal mereka juga perlukan kasih sayang dari mama.

Sebab rindu sangat, tag nama tu mama tak tanggalkan. Bila orang tegur ngapa masih pakai, mama kata pihak hospital kata kalau tag nama takde mama tak boleh bawa baby balik rumah. Yang sedihnya mama tak tanggalpun tag tu but still baby tak balik rumahpun......Baju tu adalah baju terakhir Aiman pakai, semasa mereka mandikan jenazah Aiman, darah Aiman masih mengaliir dari dada Aiman dan terkena baju tu. Mama tak basuh lagi kesan darah tu, tapi akan basuh juga nanti sebab ada darah orang kata tak baik simpan baju yang ada kesan darah.

Baju yang Aiman pakai ni pun tak basuh lagi, bila rindu mama akan cium bau baju tu dan bayangkan Aiman ada di sisi mama.

Mama sering cium bau baju yang Aiman pakai ketika di wad. Baju tu, hingga ke hari ni mama tak basuh lagi walaupun bau Aiman dah hilang. Setiapkali mama cium baju tu mengalir airmata. Melihat keadaan tu, Kakak menegur mama.."Kenapa mama nangis, Mama janganlah nangis...Adik dah pergi Syurga, Kakak kan ada, Kakak janji akan jaga mama." mama terharu sangat dengar kakak cakap macam tu, kakak baru 6 tahun, dan mungkin dia sendiri tak faham apa yang dia kata walaupun kata-katanya itu benar.

Lain pula dengan Abang. Setiapkali Mama mengalir airmata, dia akan letakkan kepalanya ke bahu mama dan mengusap belakang mama, mata abang juga berkaca. Abang tak cakap apa-apa, tapi mama tahu dia juga turut bersedih. Masa di surau abang ada bacakan surah Al-Fatihah untuk Adik dan dia juga turut serta solat jenazah.

Ada yang kata mama bertuah sebab dah dapat sepasang anak lelaki dan perempuan untuk temani mama di dunia dan di akhirat pula telah ada seorang menunggu mama. Semoga kita semua akan bertemu juga kelak..Aiman tunggu mama ye..

Mama tak boleh menangis lagi sebab Abang dan kakak tak mahu mama sedih, mereka juga akan turut bersedih kalau tengok mama bersedih. Apa yang pasti Allah lebih menyayangi Aiman. Moga Aiman gembira di sampingNya.. Aamiin.......

Gambar kenangan ketika mengandungkan Aiman...

Mama paling susah nak bergambar tapi teringin sangat nak simpan gambar ketika mengandung... tak sangka mengandungkan Aiman mama dapat juga bergambar kenangan dengan perut  camtu..

RENUNGAN....

Cuba renung semula, kenapa mama asyik ditemukan dengan ibu yang kehilangan anak sebelum ni. Bukan sahaja di wad. Di sekeliling mama juga. Adik kawan karib mama kehilangan anak berumur 4 bulan, Adik mama pula Makcik Nora, keguguran 2 kali, kali pertama anak no dua, anaknya terpaksa digugurkan sebab tempurung kepala tak ada, kemudian anak no 3 pula juga terpaksa digugurkan sebab mengandung luar rahim dan paling menyedihkan anak itu kembar. Mama hanya mampu bersimpati dengan mereka dan cuma boleh beri kata2 semangat dan kabarkan pada mereka betapa bertuahnya mereka kerana mereka terpilih menerima dugaan sebesar itu, apa yang perlu ialah Redha. Di situ mama dapat tahu, Allah dah pun memberi peringatan buat mama. Apa yang harus mama buat ialah kotakan apa yang mama katakan..iaitu REDHA....

Dalam situasi mama, adakah mama ni Redha atau Pasrah yang sebenarnya ??

P/S -   Terima kasih kat semua yang memberi ucapan takziah dan doa buat kami sekeluarga especially to my boss DR INA.. kami amat hargainya..

thanks for reading this entry ^_^